Jaga Gigi

  • KUBANG KERIAN, 26 Februari 2016 – Ibu bapa memainkan peranan penting membawa anak-anak membuat pemeriksaan gigi sejak kecil lagi sebagai amalan sepanjang hayat serta membiasakan mereka berbuat demikian pada masa hadapan.

    didikgigi

    Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Munirah Mohd Adnan, ibu bapa perlu menjadi contoh kepada anak-anak bagaimana cara untuk menjaga kebersihan gigi apatah lagi menyedarkan bahawa gigi susu mula tumbuh ketika berusia enam bulan ke atas dan pada umur tiga tahun akan tumbuh lengkap sepenuhnya sebanyak 20 batang.

    "Kebanyakan ibu bapa tidak mengambil berat tentang cara penjagaan gigi yang betul kepada anak-anak di peringkat awal. Sebab itulah gigi mereka cepat rosak seperti karies gigi, gigi berlubang, gigi reput dan sebagainya disebabkan bakteria tertentu di dalam mulut yang berupaya menghasilkan asid daripada gula dan karbohidrat yang dimakan," katanya dalam Program Intervensi Pergigian Bersama Program Inklusif Anak Cemerlang (PRINCE) USM yang diikuti oleh 50 orang peserta.

    Menurut Munirah, ibu bapa perlu membantu anak-anak ini seperti tunjukkan kepada mereka cara memberus gigi dengan betul, memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu pagi dan malam sebelum tidur dan ajar mereka membuat amalan berkumur selepas makan, katanya lagi.

    "Cuba kita lihat selalunya kerosakan gigi susu sering berlaku pada awal usia kanak-kanak disebabkan faktor pemakanan mereka. Makanan yang dimakan oleh anak-anak juga perlu dipantau, terutama makanan yang manis," jelasnya lagi.

    Tambah Munirah, ibu bapa tidak wajar membiarkan anak-anak tidur dengan botol susu di mulut yang boleh menyebabkan terjadinya karies gigi. Sebaliknya anak-anak perlu dipujuk menggunakan cawan bermula umur 12 bulan dan ke atas.

    Ibu bapa juga perlu membuat pemeriksaan gigi anak-anak di klinik gigi setiap enam bulan sekali. Paling sesuai sewaktu tumbuhnya gigi susu yang pertama atau selewat-lewatnya umur setahun.

    Pada peringkat ini, doktor akan memberi nasihat cara penjagaan gigi yang betul serta memantau dari berlakunya kerosakan gigi.

    "Mendidik anak-anak berjumpa doktor gigi pada peringkat awal usia akan membentuk amalan positif terhadap rawatan pergigian," kata Munirah.

    Selain daripada taklimat penjagaan gigi, kanak-kanak dari PRINCE didedahkan juga dengan  pelbagai aktiviti seperti tayangan video cara penjagaan gigi, demo memberus gigi dan permainan interaktif.

    Program ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Sains Pergigian USM.

    Teks: Shazleen Hashim

  • KUBANG KERIAN, 25 Februari 2016 –Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Program Intervensi Kesihatan PergigianBersama Program Inklusif Anak Cemerlang (PRINCE) USM.

    Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada ibubapa tentang penjagaan kesihatan pergigian kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU). Penjagaan kesihatan pergigian kanak-kanak OKU ini sangat penting kerana mereka berisiko tinggi untuk menghidap pelbagai jenis penyakit.

    Menurut Prof. Madya Dr. Mastura Abd Rahman, “Fizikal dan mental kanak-kanak OKU juga menjadi faktor utama kesukaran berkomunikasi untuk menerima dan memahami pendidikan kesihatan penjagaan gigi”.

    Tambahnya lagi,“Ibubapa perlu memainkan peranan penting dalam mendapatkan maklumat tentang penjagaan kesihatan ini”.

    Program ini juga turu tmemberikan tips penjagaan awal gigi susu kanak-kanak OKU kepada ibubapa. Antara tips yang dikongsikan ialah cara memegang berus gigi, kedudukan ibubapa semasa memberus gigi dan memflos gigi.

    Secara keseluruhannya, program ini amat membantu ibubapa untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang pengajaan kesihatan pergigian kanak-kanak OKU.

    Teks : Nor Arina &Normimi Shahira (Pelajar Internship)

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Khamis 05 Disember 2019.
Jumlah Pengunjung
748577