PELITUP MUKA: KEPENTINGAN PENGURUSAN YANG BETUL ELAK PENULARAN WABAK DAN PENCEMARAN

KOTA BHARU, KELANTAN, 1 Oktober 2020 – Pelitup muka menjadi kemestian bagi semua orang yang berada di tempat awam pada masa kini memandangkan virus COVID-19 belum berakhir sepenuhnya.

Pada asasnya, pelitup muka digunakan dalam situasi tertentu seperti ketika udara tercemar, berjerebu atau penularan penyakit berjangkit. Dalam situasi seperti hari ini, pelitup muka digunakan bagi menapis titisan halus yang keluar semasa bercakap, bersin atau batuk sebagai salah satu usaha mencegah dan membendung penularan virus kepada orang lain.

SAVE 20201002 214049

Pensyarah Program Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nurulilyana Samsuddin berkata, pelitup muka terdiri daripada lapisan hidrofobik, hidrofilik dan penapis.

“Lapisan hidrofobik adalah kalis air yang kebiasaannya bewarna biru diperbuat daripada bahan sintetik bukan tenunan seperti lapisan kapas dan lapisan hidrofilik pula diperbuat daripada kapas, campuran kapas atau polipropilena yang membenarkan serapan air berlaku.

“Jika pelitup muka dipakai secara berterusan, kita digalakkan menukar setiap empat hingga enam jam atau setelah pelitup muka menjadi lembab bagi mengelakkan kuman tersebar kepada pemakai,” katanya ketika ditemubual di konti radio Kelantan FM.

SAVE 20201002 212428

Tambah Nurulilyana, terdapat tujuh langkah mudah yang boleh diamalkan dalam menguruskan pelitup muka yang telah digunakan bagi mengelakkan penularan virus.

"Sebelum menyentuh atau membuka pelitup muka, basuh tangan terlebih dahulu dengan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman ‘hand sanitizer’. Kedua, buka pelitup muka dengan hanya memegang tali atau memutuskan tali. Kemudian, lipat atau gulung pelitup muka ke arah dalam. Pastikan pelitup muka yang telah dilipat, diikat agar ia tidak diterbangkan angin. Seterusnya balutkan dengan tisu atau kertas dan masukkan ke dalam beg plastik sebelum dibuang ke dalam tong sampah yang berplastik dan bertutup. Akhir sekali, pastikan anda membasuh tangan dengan sabun.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyarankan agar pelitup muka perlu disimpan dengan betul ketika hendak makan iaitu dengan meletakkannya di dalam beg plastik yang diikat dan sebelum dipakai semula, tangan perlulah dibersihkan dengan sabun terlebih dahulu," ujarnya.

Nurulilyana berkata, kebanyakan rakyat Malaysia tidak mematuhi langkah penyimpanan pelitup muka yang betul dan masih ada yang gemar meletakkan pelitup muka di dagu, disangkut pada sebelah telinga selain meletakkannya di atas meja. Tabiat sebegitu boleh menyebabkan kuman tersebar dan memudaratkan kesihatan si pemakai.

"Berdasarkan laporan terkini daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Malaysia berada pada kedudukan ke lapan dunia dalam carta negara yang paling banyak pencemaran plastik.

"Anggaran kasar mendapati dasar pemakaian pelitup muka berpotensi menambah sisa plastik yang tidak boleh dikitar semula sebanyak 62,000 tan, sisa tercemar 31,000 tan dan sisa pembungkusan plastik negara sebanyak 27,000 tan dalam tempoh setahun jika tabiat memakai pelitup muka pakai buang diteruskan," katanya lagi.

Jelas Nurulilyana, bagi melakukan pemusnahan pelitup muka yang bersistematik, kaedah pembakaran menggunakan insinerator juga boleh digunakan sepertimana cara pengurusan sisa klinikal yang menggunakan teknologi mengubah sisa ke tenaga ‘waste to energy’.

"Keadaan ini dilihat dapat diatasi sekiranya semua pihak memberikan kerjasama dalam memastikan cara penggunaan dan pengurusan pembuangan pelitup muka diuruskan dengan teratur serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh MKN sekaligus memutuskan rangkaian wabak COVID-19," ujar beliau lanjut.

Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Rabu 21 Oktober 2020.
Jumlah Pengunjung
1731924