PADU SUMBANG ALAT SOKONGAN PERNAFASAN

IMG 20200609 140138

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Jun 2020 – Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (PADU) mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan alat sokongan pernafasan atau ‘Nasal High Flow System’ kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) untuk merawat pesakit COVID-19 dan pesakit yang mengalami jangkitan pernafasan akut yang teruk (SARI).

Alat sokongan pernafasan tersebut telah diserahkan kepada Ketua Jabatan Anestesiologi, Profesor Madya Dr Wan Mohd Nazaruddin Wan Hassan di Unit Rawatan Rapi Hospital USM pada 31 Mei lalu.

Menurut Presiden PADU, Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah, sumbangan yang merupakan hasil daripada Projek Dana Pembelian Alatan Sokongan dan Bantuan Pernafasan: (COVID-19) PADU bermula Mac lalu itu turut disampaikan kepada Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh.

IMG 20200609 140107

“Projek ini mendapat sambutan yang memberansangkan dan jumlah dana yang terkumpul hampir RM90,000.

“Melalui dana tersebut, PADU membeli 11 set ‘Helmet Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) dan lima (5) ‘Helmet Bilevel Positive Airway Pressure’ (BiPAP) untuk diagihkan kepada enam buah hospital di Malaysia iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Hospital Queen Elizabeth 1, Hospital Umum Sarawak dan juga Hospital USM,” katanya.

Tambah Jafri, sebagai mengenang jasa barisan hadapan dalam merawat pesakit COVID-19, PADU telah berkerjasama dengan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) mengagihkan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada hampir 20 hospital di seluruh Malaysia melalui wakil-wakil PADU di setiap hospital.

IMG 20200609 140121

Sementara itu, Setiausaha PADU, Dr Wan Faiziah Wan Abdul Rahman turut berkongsi rasa syukur dan gembira kerana segala usaha pasukannya seakan terbalas apabila melihat kegembiraan terukir di wajah para doktor yang girang tatkala menerima alatan sokongon pernafasan untuk merawat pesakit.

“Doktor sentiasa ingin memberikan kaedah rawatan yang terbaik dengan menggunakan alatan yang mereka rasakan sesuai dengan keadaan pesakit. Memandangkan ‘Nasal High Flow System’ ini menjadi idaman para perawat barisan hadapan, adalah menjadi harapan kami untuk membekalkannya kepada setiap hospital di Malaysia.

“PADU berterima kasih kepada semua penyumbang dan mengalu-alukan sumbangan untuk merealisasikan hasrat perawat barisan hadapan dan pesakit yang memerlukan alat sokongan pernafasan. Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad Persatuan Alumni Doktor USM (PADU) bernombor 03018010143411 dengan rujukan CPAP COVID-19,” ujarnya.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: PADU

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Rabu 21 Oktober 2020.
Jumlah Pengunjung
1731823