CEGAH RETINOPATI DIABETIK ELAK RISIKO BUTA

KOTA BHARU, KELANTAN, 5 Mac 2020 – Retinopati diabetik adalah kerosakan pada retina akibat komplikasi penyakit diabetes di mana dinding salur darah yang lemah menyebabkan berlakunya kebocoran lemak serta penyumbatan kapilari.  Sekiranya tidak mendapat rawatan awal, mata boleh menjadi buta.

Dr Ngoo Qi Zhe

Menurut Pakar Oftalmologi yang juga Pensyarah Perubatan Jabatan Oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Ngoo Qi Zhe, keadaan ini berlaku disebabkan oleh peningkatan kronik paras gula dalam darah yang merosakkan pembuluh darah serta menjejaskan bekalan oksigen dalam sel mata dan nutrisi pada mata.

 “Kebiasaannya pesakit diabetik akan menunjukkan komplikasi awal pada bahagian mata berbanding organ lain dan sekiranya pesakit mengadu penglihatannya kabur, pemeriksaan lanjutan akan dilakukan untuk memastikan berlaku komplikasi atau tidak”.

 “Apabila penglihatan menjadi kabur, retinopati diabetik berada pada peringkat yang teruk menyebabkan mata mengalami kekurangan oksigen dan pembentukan saluran darah baru yang kurang matang.

“Saluran darah ini mudah pecah dan berdarah sehingga menyebabkan pesakit mengalami gejala kabur penglihatan secara tiba-tiba dan ada ketikanya, saiz dan bentuk objek yang dilihat berubah-ubah,” ujar beliau semasa ditemubual dalam segmen ‘Sembang Sihat’  Kelantan FM baru-baru ini.                                                                                             

Qi Zhe berkata, pesakit diabetik boleh membuat pengesanan awal retinopati di klinik-klinik kesihatan atau klinik rawatan keluarga yang menyediakan kamera fundus kerana melalui pemeriksaan awal ia boleh mencegah kebutaan.

 “Terdapat tiga cara rawatan untuk kepada pesakit retinopati diabetik  iaitu suntikan langsung ubat antiradang faktor pertumbuhan endothelial vaskular (VEGF) dibuat bagi mengurangkan bengkak pada makula yang bertanggungjawab untuk membolehkan penglihatan menjadi lebih jelas, rawatan melalui pembedahan pula dilakukan ke atas pesakit yang mengalami pendarahan berterusan di dalam mata atau lekangan pada urat saraf manakala kaedah laser merupakan prosedur yang dilakukan pada bahagian retina periferi untuk memberhentikan pusingan penglihatan yang membentuk VEGF akibat kekurangan oksigen yang menghalang pembentukan saluran darah baharu serta dapat membantu mengawal daripada merebak ke peringkat yang lebih serius,” katanya.

Bagi mengelak retinopati diabetik, Qi Zhe menasihatkan pesakit terutamanya golongan muda menjalani pemeriksaan mata apabila disahkan menghidap diabetes dan mereka perlu mengawal paras gula dalam darah.

“Amalkan gaya hidup sihat dengan menjaga pemakanan, bersenam dan menjalani pemeriksaan mata secara berkala supaya rawatan awal dapat diberikan dan sekiranya seseorang itu mengikut nasihat doktor dia mungkin mengambil masa selama 10 tahun sebelum kerosakan retinanya beralih daripada peringkat permulaan ke peringkat pertengahan”, katanya.

Teks / Foto: Anawiah Abdul Aziz

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Selasa 11 Ogos 2020.
Jumlah Pengunjung
1499277