“SEDAP TAK SEMESTINYA MASIN” – STRATEGI KURANGKAN GARAM

KOTA BHARU, KELANTAN, 12 September 2019 – Pengambilan garam atau dikenali ‘sodium chloride’ yang berlebihan akan meningkatkan risiko penyakit tekanan darah tinggi, strok, jantung dan komplikasi buah pinggang.

Menurut Pensyarah Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Nur-Fazimah Sahran, purata pengambilan garam dalam kalangan rakyat di Malaysia adalah sebanyak 3.4 gram sodium sehari bersamaan dengan 1.7 kali ganda daripada saranan keperluan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan saranan dua gram sodium pengambilan daripada Nutrien Malaysia (RNI).

Nur_Fazimah_Sahran.jpg

“Pengambilan diet rendah garam adalah menjadi salah satu pelan pemakanan yang penting bagi mencegah dan mengawal penyakit terutama darah tinggi," ujarnya.

Nur-Fazimah yang ditemubual dalam rancangan Sembang Sihat di Radio Kelantan FM berkata, kanak-kanak di bawah usia satu tahun tidak dibenarkan menambah garam di dalam makanan mereka seperti bubur, puri dan lain-lain kerana bahan-bahan tesebut telah mempunyai garam semulajadi.

“Pemilihan makanan segar lebih baik berbanding makanan yang diproses, ini kerana makanan yang diproses mempunyai garam lebih tinggi selain boleh didapati dalam penambah rasa dan makanan dalam tin.

“Garam akan diambil dalam jumlah yang lebih tinggi apabila seseorang itu mengambil makanan yang diproses seperti makanan dalam tin, kicap, sos, ikan masin, ikan bilis, bebola ikan, bebola daging, bebola udang, makanan sejuk beku, daging proses seperti burger, nugget, sosej, kerepek dan sebagainya,” jelasnya lagi.

Nur-Fazimah berkata, pilih makanan secara sihat dengan memeriksa label makanan adalah antara cara lain untuk mengetahui dan membandingkan tahap sodium

dalam makanan sebelum membeli makanan dan beransur-ansur kurangkan garam dalam resipi kegemaran.

“Garam dan bahan penambah rasa boleh digantikan dengan perisa semula jadi seperti herba, jus limau dan rempah-ratus.

“Selain itu juga, tiada istilah ‘garam sihat’ kerana kebanyakan­nya mempunyai kandungan sodium yang sama. Ramai yang fikir sodium hanya terdapat dalam garam tapi sodium boleh datang dalam bentuk yang lain,” katanya.

Jelas Nur-Fazimah lagi, makan buah-buahan secara kerap dapat membantu menurunkan tekanan darah kerana buah-buahan kaya dengan garam galian kalium atau potassium semulajadi.

“Orang ramai dinasihatkan untuk makan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan segar serta kurangkan makanan yang diproses dan kerap makan di rumah serta membawa makanan yang dimasak di rumah ke tempat kerja,” katanya.

Teks/Foto : Anawiah Abdul Aziz

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Khamis 05 Disember 2019.
Jumlah Pengunjung
748484