KENALI DAN TANGANI KECELARUAN GENDER

KOTA BHARU, KELANTAN, 4 Ogos 2019 – Gender Dysphoria atau juga dikenali sebagai kecelaruan gender merupakan salah satu penyakit mental yang merujuk kepada konflik dan pertembungan di antara manifestasi gender seseorang dengan jantina biologi semasa lahir seperti meniru tingkahlaku, pemakaian dan sifat jantina yang berlainan serta menyembunyikan tanda-tanda biologi jantina asal.

Dr. Sharifah Zubaidiah Syed Jaapar

Menurut Pensyarah dan Pakar Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sharifah Zubaidiah Syed Jaapar, kecelaruan gender ini secara umumnya merangkumi perasaan tidak selesa pada anatomi seksual sendiri dan keinginan mendesak untuk hidup sebagai orang yang bertentangan dengan jantina termasuklah mereka yang menolak jantina tetapi masih mengekalkan alat kelamin mereka.

"Berdasarkan diagnostiik beberapa kriteria kecelaruan gender seseorang individu akan mengambil masa selama enam bulan untuk mempunyai dua simptom antaranya ketidak selarian yang ketara di antara manifestasi gender (sifat feminin/maskulin) dengan sifat jantina asal.

“Keinginan yang kuat untuk menghilangkan sifat-sifat jantina asal, sifat-sifat jantina yang berlainan, menjadi gender berlainan, dilayan sebagai gender yang berlainan dan mempunyai perasaan serta reaksi tipikal gender berlainan dan inilah penyebab kepada tekanan serta masalah fungsi harian yang ketara,” ujarnya ketika menjadi tetamu slot ‘Sembang Sihat’ di Radio Kelantan FM, di sini.

Dr. Sharifah Zubaidiah Syed Jaapar1

Tambah Sharifah, punca atau faktor risiko kepada kecelaruan ini disebabkan faktor individu dimana peringkat kanak-kanak hingga dewasa iaitu di antara umur 10 hingga 19 tahun akan mengalami satu fasa krisis identiti iaitu mereka akan mula mencari identiti seperti perasaan ingin tahu dan mencuba, kurang didikan agama, mangsa dera seksual terutama di asrama (mangsa liwat), emosi tidak stabil, kurang kemahiran daya tindak serta bermain dengan kanak-kanak perempuan atau lelaki semasa kecil.

"Selain itu, faktor keluarga juga antara puncanya dimana mereka akan merasa kurangnya kasih sayang dari salah seorang ibu bapa dan mereka akan mencari kasih sayang di luar dan lama kelamaan kasih sayang tersebut akan bertukar menjadi kasih sayang seorang teman hidup.

"Penyebab kecelaruan ini juga berlaku apabila ibu bapa menginginkan anak lelaki apabila dilahirkan, sebaliknya yang keluar adalah anak perempuan. Maka, ianya juga menjadi salah satu faktor apabila anak perempuan dididik seolah-olah itulah anak lelakinya," jelasnya lagi.

Sharifah berkata, faktor persekitaran juga memainkan peranan iaitu sikap masyarakat yang memandang rendah, pergaulan bebas, sumber mudah akses seperti penggunaan gajet, dibesarkan dalam komuniti atau keluarga yang bermasalah, kawalan yang kurang dari pihak berkuasa dan pergerakan proLGBT atau normalisasi serta penggunaan internet dan pengaruh sosial media.

“Tanda-tanda seseorang itu mempunyai kecelaruan gender ialah seperti pemakaian silang dimana seseorang itu suka memakai pakaian yang berlainan jantina, cenderung memilih kawan yang berlainan jantina serta bermain permainan jantina berlainan dan menyatakan keinginan untuk menjadi jantina yang berlainan.

“Selain itu, gangguan emosi dan tingkahlaku juga adalah tanda kecelaruan. Untuk mendekati mereka yang mempunyai kecelaruan ini perlulah dilakukan pencegahan awal seperti melarang memakai pakaian silang. Perbuatan memakaikan anak lelaki dengan perempuan dan sebaliknya, atau terus membiarkan anak-anak kecil didedahkan dengan perlakuan-perlakuan yang berlawanan dengan tabiat jantinanya adalah perbuatan terlarang,” katanya.

Jelas Sharifah lagi, sebagai manusia normal, kita perlu kembali kepada fitrah semulajadi kita dan sentiasa mengingati kenapa Allah SWT menjadikan manusia berpasang-pasangan.

“Pendekatan kaunseling, psikospritual dan perubatan boleh digunakan dalam membantu untuk memulihkan perkara ini serta jangan menghukum mereka sekiranya mereka ingin kembali ke fitrah sebenar,” ujarnya.

Teks/Foto: Wan Salizawati Wan Ismail

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Khamis 05 Disember 2019.
Jumlah Pengunjung
748520