AIDILFITRI DAN DIABETES

KOTA BHARU, KELANTAN, 24 Jun 2019 -  Perayaan Aidilfitri sinonim dengan kemeriahan kaum keluarga dan sahabat handai berkumpul, bermaafan, rumah terbuka dengan penyediaan pelbagai juadah yang mengandungi banyak gula serta lemak.

Dr Maryam

Menurut Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Maryam Mohd Zulkifli, ramai yang gagal mengawal nafsu makan apabila Aidilfitri menjelma dan makan apa sahaja tanpa memikirkan kesannya terutama bagi yang menghidap diabetis  dan darah tinggi.

“Pengambilan makanan yang tidak terkawal boleh menyebabkan peningkatan berat badan secara mendadak selain meningkatkan risiko penyakit diabetis.

“Penghidap penyakit kronik seperti diabetis, jantung, tekanan darah tinggi dan penyempitan pembuluh darah perlu mengawal pengambilan hidangan pada hari lebaran yang mengandungi kadar karbohidrat, lemak dan gula yang tinggi,” ujarnya ketika menjadi tetamu rancangan ‘Sembang Sihat’ di Radio Kelantan FM, di sini.

Tambah Maryam, lemak dan karbohidrat yang berlebihan akan membawa bahaya terutamanya kepada pesakit kencing manis kerana ia boleh menyebabkan hiperglisemia iaitu keadaan apabila badan mempunyai lebihan glukosa dalam aliran darah.

 “Antara tanda-tanda awal atau gejala jelas apabila seseorang itu mula menghidap penyakit diabetis ialah penurunan berat badan, kerap membuang air kecil, merasa dahaga dan mudah terasa lapar, penglihatan kabur, sakit kepala, keletihan, luka lambat sembuh dan kulit gatal.

"Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) 2015, menunjukkan 30 peratus orang dewasa yang berumur 18 tahun ke atas mempunyai berat badan berlebihan dengan indeks jisim badan (BMI) 25 ke atas iaitu 17.7 peratus adalah obesiti dengan BMI 30 ke atas,” jelasnya lagi.

Maryam berkata, pengurangan pengambilan minuman bergula dengan menggunakan gelas tinggi, berbanding gelas atau cawan yang besar akan dapat mengurangkan tabiat minum air bergula atau berkarbonat.

"Orang ramai digalakkan menggunakan pinggan yang kecil untuk mengambil makanan agar makanan nampak banyak biarpun dalam kuantiti yang kecil.

“Pengambilan protein dalam sarapan juga adalah elemen utama kerana ia dapat menyekat selera makan yang bertambah dan berupaya mengurangkan pengambilan makanan seterusnya,” katanya.

Menurut Maryam lagi, pemilihan makanan yang kurang lemak dan gula serta makanan berserat tinggi adalah penting bagi proses pencernaan makanan dan terdapat pelbagai cara atau panduan yang boleh diikuti ketika menyediakan hidangan sihat.

“Bagi menu utama raya, dapatkan pemahaman yang jelas mengenai jenis makanan yang akan dimasak dan sila kurangkan makanan bergoreng serta berminyak dengan menukarkan cara penyediaan seperti bakar, kukus dan panggang kerana penyediaan seperti ini lebih sihat dan boleh dipelbagaikan.

 “Pesakit diabetis juga perlu sentiasa mengingati masa pengambilan ubat dan ahli keluarga diingatkan supaya sentiasa memainkan peranan mengingatkan pesakit agar memakan ubat mengikut panduan yang ditetapkan.

Teks/Foto : Anawiah Abdul Aziz

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Khamis 05 Disember 2019.
Jumlah Pengunjung
748628