DIABETIS: KENALI PUNCA DAN RAWATAN YANG PERLU

KOTA BHARU, KELANTAN, 31 Januari 2019 – Diabetes atau dikenali sebagai penyakit kencing manis merupakan suatu keadaan di mana paras gula dalam darah adalah tinggi disebabkan oleh kekurangan hormon insulin. Insulin dihasilkan di pankreas apabila berlaku peningkatan gula yang berada di dalam darah kerana tidak dapat bertukar menjadi tenaga dan menyebabkan kadar gula pesakit tinggi.

Diabetes mendorong kepada kegagalan fungsi organ dalaman lain termasuk pankreas dan sekiranya penyakit ini tidak dicegah dari awal, ia akan mendatangkan komplikasi kepada badan serta menjurus kepada penyakit yang lebih serius seperti tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

Zaswani Ab Rahman

Menurut Jururawat Pengajar Diabetes, Unit Kejururawatan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Zaswani Ab Rahman, punca diabetes menyerang individu tanpa mengira peringkat umur adalah kerana amalan gaya hidup yang tidak sihat dan pengambilan makanan yang tidak baik untuk kesihatan selain turut berisiko menyerang bayi baharu lahir kerana pemakanan yang diambil oleh ibunya.

“Penyakit diabetes bukan sahaja dihidapi oleh mereka yang berumur  60 tahun ke atas, ia juga dihidapi oleh kanak-kanak seawal usia enam hingga tujuh tahun serta wanita mengandung.

“Terdapat dua jenis diabetes iaitu 'Jenis 1' dan 'Jenis 2' dengan gejala yang berbeza tetapi ianya serius dan memerlukan rawatan segera serta jagaan yang rapi oleh pesakit untuk mengubatinya", jelasnya semasa menjadi tetamu rancangan 'Sembang Sihat' di Radio Kelantan FM, di sini.

"Antara tanda-tanda dan gejala diabetes yang kebiasaannya berlaku pada penghidapnya ialah berasa dahaga dan lapar sepanjang waktu walaupun sudah mengambil makanan dan minuman dalam kuantiti yang banyak, mengalami kekeringan pada bibir dan tekak serta kerap membuang air kecil sehingga lewat malam.

“Selain itu, penurunan berat badan, mengalami keletihan yang melampau serta daya penglihatan juga semakin kabur sekaligus menyebabkan kesakitan yang teruk pada kepala dan mudah pengsan apabila gejala ini berlaku", ujarnya lagi.

Tambah Zaswani, penyakit diabetes dapat dielakkan dengan melakukan tiga jagaan utama bagi mengawal tahap gula dalam darah menghampiri tahap normal iaitu mengambil makanan seimbang kerana pengambilan makanan berlebihan akan meninggikan tahap gula dalam darah, melakukan senaman fizikal yang dapat mengurangkan kandungan gula dalam darah dan membantu insulin bekerja dengan lebih berkesan serta mengurangkan berat badan.

“Jika anda penghidap diabetes "Jenis 1', anda memerlukan suntikan insulin manakala bagi penghidap diabetes 'Jenis 2', anda mungkin hanya memerlukan pengambilan ubat hipoglisemia untuk menurunkan tahap gula dalam darah dan sesetengah mungkin memerlukan suntikan insulin.

"Suntikan insulin diperlukan untuk mengawal paras gula dalam badan dan teknik suntikan yang betul adalah sangat penting untuk memastikan pesakit mendapat respons yang optimum dari insulin", katanya.

Zaswani turut menegaskan bahawa jika diabetes tidak dikawal dengan baik pelbagai komplikasi akan berlaku terhadap semua organ tubuh badan seperti strok, kebutaan, kerosakan buah pinggang, gangguan fungsi seksual dan amputasi pada kaki.

"Penyakit diabetes boleh dicegah seandainya masyarakat peka untuk menjaga kesihatan dan mengamalkan pemakanan yang sihat serta kurangkan gula dalam makanan dan minuman seharian", ulasnya lagi.

Teks/Foto: Wan Salizawati Wan Ismail

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Khamis 05 Disember 2019.
Jumlah Pengunjung
748627